Keputusan membeli rumah pertama sangat penting.
- Bila anda membeli
- Berapa harga yang anda beli
- Di mana lokasi anda membeli
- Jenis rumah yang anda beli
Keputusan ini akan memberi kesan dan boleh mempengaruhi diri dan kewangan anda pada masa hadapan.
Bila anda membeli rumah pertama?
Lebih awal keputusan anda membeli, lebih cerah masa depan anda dan lebih baik untuk kewangan anda. Mereka yang membuat keputusan awal untuk membeli rumah biasanya akan berpeluang untuk menikmati kenaikan nilai rumah tersebut pada masa hadapan dengan lebih tinggi.
Sebagai contoh, jika anda membeli rumah pertama pada umur 25 tahun dengan harga RM100K, kemungkinan dalam 5 tahun harga rumah tersebut meningkat sehingga RM150,000. Ini bermakna, pada umur 30 tahun. anda sudah mempunyai nilai ekuiti yang lebih dari liability anda dan mempunyai simpanan ‘pasif’ sekurang-kurangnya RM50,000 jika anda menjualkan rumah tersebut. Adakah anda boleh menyimpan RM50,000 dalam masa 5 tahun pada umur 20an dengan gaji mungkin di bawah RM4,000? Kemungkinan besar memang tidak. Oleh itu, buatlah perancangan untuk membeli rumah pertama anda seawal yang mungkin tanpa membebankan kewangan semasa anda.
Harga Yang Anda Beli
Harga pembelian rumah pertama anda juga boleh menjadi faktor penting dan memberikan kesan kepada kewangan semasa dan masa depan anda. Jangan terlalu mengikut kehendak untuk membeli rumah idaman anda untuk pembelian pertama.
Memaksa diri untuk membeli rumah pada tahap maksima kemampuan anda boleh menjejaskan kewangan semasa anda. Anda perlu tahu apa yang anda layak dan apa yang anda mampu. Walaupun anda boleh mendapatkan pinjaman sehingga 70% dari pendapatan anda dan tiada komitmen lain semasa anda membeli rumah tidak bermaksud anda perlu mencari rumah yang semahal mungkin untuk anda beli.
Sebagai contoh, andaikan pendapatan bersih anda RM3,000. Secara amnya anda boleh mendapatkan pinjaman sehingga 70% gaji bersih anda, bermakna ansuran bulanan anda boleh mencapai sehingga RM2,100. Tetapi disebabkan anda masih belum membeli kereta, masih belum berkahwin atau masih belum mempunyai anak, sebaiknya jangan membeli rumah yang memerlukan anda membayar komitmen sehingga RM2,100 (atau berharga lebih kurang RM400,000). Sebaiknya beli rumah pada harga yang lebih rendah, contohnya RM300,000 dan hanya memerlukan anda membayar ansuran lebih rendah dari kelayakan anda dan lebih mampu dan selesa untuk anda.
Selain itu, pembelian rumah pada harga yang lebih rendah dari nilai pasaran juga boleh memberikan kelebihan pada anda. Apabila anda membeli rumah di bawah nilai pasaran, anda mempunyai lebihan ekuti yang boleh membantu anda bertindak sebagai simpanan pasif masa depan anda apabila anda bercadang untuk menjual atau membuat pembiayaan semula.
Kebanyakan rumah yang dijual di bawah nilai pasaran boleh di dapati dalam pasaran ‘sub-sale’ dan juga lelongan. Tetapi terdapat juga rumah baharu yang memberikan rebat tinggi yang mungkin boleh dipertimbangkan jika harganya sesuai dengan kemampuan anda.
Mendapatkan nasihat perunding hartanah bertauliah adalah lebih baik dan lebih mudah untuk anda. Khidmat tersebut juga percuma untuk anda sebagai pembeli.
Lokasi Yang Anda Beli
Lokasi memainkan peranan penting khususnya untuk rumah pertama anda. Lokasi yang strategik berhampiran kawasan yang mempunyai permintaan tinggi akan manjadikan nilai sesuatu hartanah meningkat dengan lebih cepat – tetapi tidak semestinya kerana ia mungkin bergantung kepada faktor lain hartanah itu sendiri.
Apabila anda membeli rumah di lokasi yang strategik, kenaikan nilai yang tinggi pada masa hadapan membantu anda mempunyai nilai ekuiti yang lebih tinggi dan juga menjadi simpanan pasif yang baik untuk masa depan anda.
Sebagai contoh, anda membeli di lokasi A yang mempunyai permintaan tinggi, manakala rakan anda membeli di lokasi B kerana mahu tinggal berhampiran keluarga tetapi tidak mempunyai permintaan tinggi di mana masing-masing membeli pada harga RM200K. Selepas 5 tahun kemungkinan harga rumah yang anda beli melonjak nilainya kepada RM300,000 manakala rumah rakan anda di lokasi B hanya meningkat sekitar RM250,000 disebabakan faktor lokasi yang kurang permintaan dan sewa yang lebih rendah.
Oleh itu pertimbangkan lokasi yang baik apabila membeli rumah pertama anda kerana apabila anda membuat keputusan untuk menjual pada masa hadapan pastinya ia akan lebih menguntungkan anda.
Jenis Rumah Yang Anda Beli
Jenis rumah juga memberikan kesan terhadap pembelian rumah pertama anda. Secara amnya, rumah bertanah (‘landed’) akan mempunyai kenaikan yang lebih tinggi berbanding rumah strata atau bertingkat kerana bekalan yang terhad. Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur sememangnya amat sukar untuk mencari rumah bertanah (‘landed’) yang mampu milik kerana kebanyakannya adalah rumah bertingkat.
Jika anda tidak mempunyai banyak pilihan untuk membeli antara rumah ‘landed’ atau ‘strata’ buat pilihan antara rumah ‘strata’ terbaik yang boleh anda beli. Jika anda membeli rumah jenis ini, sebaiknya pilih tingkat yang rendah jika ia tiada lif. Jika anda membeli rumah flat atau apartment dari pasaran sub-sale, pilih kawasan perumahan yang mempunyai penyelenggaraan yang baik. Penyelenggaraan yang baik akan memberikan kesan terhadap permintaan dan seterusnya harga hartanah di kawasan tersebut.
Sekiranya anda membuat keputusan untuk membeli ‘serviced apartment’, lihat perbandingan rumah-rumah lain di sekitar kawasan tersebut yang mungkin banyak dijual pada harga lebih rendah, atau terdapat banyak lelongan yang boleh anda beli. ‘Serviced apartment’ merupakan antara paling banyak unit yang tidak terjual pada masa ini, oleh itu anda perlu berhati-hati apabila membeli rumah jenis ini. Namun begitu, tidak semuanya tidak bagus, jika anda melihat faktor-faktor lain seperti yang telah dinyatakan sebelum ini seperti Harga dan Lokasi, mungkin ia juga boleh menjadi pembelian rumah pertama yang baik untuk anda.
Oleh itu, sebagai kesimpulannya, pembelian rumah pertama seawal mungkin sangat memberi kesan kepada anda. Apabila membuat keputusan pastikan ianya tidak membebankan diri anda dan pilihlah lokasi dan harga yang betul supaya pembelian rumah pertama anda bukan sahaja sesuai sebagai tempat tinggal anda tetapi bakal menjadi PELABURAN TERBAIK yang pernah anda lakukan dalam hidup anda.
Selamat Membeli Rumah Pertama anda.
#MK
#TipsHartanah