Berikutan kesan pandemik Covid-19 yang melanda terhadap pasaran hartanah di Malaysia, ramai yang menjangkakan harga kediaman meningkat kembali dan pulih seperti biasa pada separuh kedua 2021 (H2 2021). Walau bagaimanapun, dari segi permintaan dan penurunan nilai terhadap sesebuah hartanah itu adalah bergantung pada 𝐥𝐨𝐤𝐚𝐬𝐢, 𝐣𝐞𝐧𝐢𝐬 𝐡𝐚𝐫𝐭𝐚𝐧𝐚𝐡, 𝐤𝐨𝐧𝐝𝐢𝐬𝐢, 𝐭𝐚𝐡𝐚𝐩 𝐤𝐞𝐬𝐞𝐥𝐚𝐦𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐥𝐚𝐢𝐧-𝐥𝐚𝐢𝐧 𝐟𝐚𝐤𝐭𝐨𝐫.
Tidak dinafikan faktor ekonomi, bencana alam, wabak memberi kesan terhadap nilai hartanah kerana ianya memberi kesan kepada keupayaan atau kemampuan pembeli atau pemilik untuk memilik hartanah tersebut.

Di Johor, direkodkan bilangan transaksi kediaman pada separuh pertama 2021 (H1 2021) menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding di H1 2020. Didaftarkan transaksi sebanyak 10,681-unit bernilai RM3.90 bilion pada H1 2021 berbanding 10,193-unit bernilai RM3.40 bilion pada H1 2020.

Berdasarkan data daripada NAPIC, ramai yang memilih untuk memiliki kediaman bertanah terutamanya jenis rumah teres yang mana majoritinya adalah terdiri daripada rumah teres 2-3 tingkat. Direkodkan jumlah transaksi bagi rumah teres 2-3 tingkat sebanyak 10,296-unit berbanding rumah teres 1 tingkat iaitu 7,507-unit sepanjang H1 2020 hingga H1 2021. Bilangan tersebut diikuti dengan kediaman jenis kos rendah yang mencatatkan sebanyak 3,673-unit sepanjang H1 2020 hingga H1 2021.

Terdapat beberapa skim perumahan di Johor Bahru yang masih mempunyai permintaan tinggi walaupun keadaan kurang stabil dikala pandemik Covid-19. Sesetengah kawasan tidak menerima kesan yang ketara akibat pandemik seperti Taman Bukit Indah, Taman Kota Masai, Taman Scientex Pasir Gudang, Taman Johor Jaya dan lain-lain. Manakala dari segi harga, segelintir daripadanya mengalami penurunan dimana terdapat pemilik yang mungkin terdesak untuk menjual rumah mereka lalu terpaksa menurunkan harga jualan. Bagi pembeli yang berkemampuan, ini merupakan satu peluang yang baik untuk memiliki rumah atau menambah aset mereka.